Hari ni genap raya 12 hari. Terasa lama tak melayan blog ni, bersawang pulak kalau ditinggalkan lama. Kalau diikutkan hati, hari-hari nak post entry tapi masa tak mengizinkan, lebih-lebih lagi selepas raya ni. Jika penghujung tahun kian hampir, tugas-tugas harian di pejabat pun semakin bertambah.
Kalau tiba masa pengumuman raya, aku lah antara orang yang paling gembira, tak sabar-sabar menunggu depan tv. Tapi tu dulu, tahun ni, pengumuman raya terlepas dari pandangan. Sibuk berbuka di luar gamaknya. Undangan berbuka paling banyak pada minggu terakhir puasa. Ku gagahkan jua untuk tidak menghampakan sesiapa.
Sehari sebelum raya, tak banyak yang perlu dibereskan. Lemang segera Mak yang famous tu kami keluarkan dari menu sebab tak mahu lihat mak seharian di dapur. Cukup sekadar nasi beriyani yang menjadi juadah wajib sejak dua menjak ni, kari daging untuk nenek, pajeri nenas permintaan Mak Teh & rendang ayam. Ketupat, lemang, lontong, rendang daging, ayam goreng berempah, sambal sotong kering, sayur lodeh, semuanya akan dapat kami nikmati di rumah nenek nanti.
Malam raya, tinggal aku bertiga dengan Mak & abg lan. Abah dan abg sham ke rumah nenek membantu menyambut rombongan takbir dari masjid dan surau berdekatan. “Ramai betul”, kata Abah. Lebih kurang 150 orang ahli rombongan. Ramai yang membantu selain Abah dan abg sham, mak Teh, pak usu dan pak lang sekeluarga pun ada sama.
Pagi raya, selepas solat raya ada juga kenalan dan saudara mara datang berkunjung. Bila kunjungan agak reda sedikit baru kami bertolak ke rumah nenek. Janggal betul rasanya kalau tak kesana. Sejak Nenek belah Mak dah takde, di situlah tempat kami bertandang seharian raya pertama. Tahun ni ada members of the clan yang tak ada, Pak Andak sekeluarga masih di Liverpool, Mak Ngah di rumah melihat-lihatkan Ita yang baru sahaja melahirkan & Fatimah dan Aisyah yang berada di Mesir. Memang menjadi tradisi setiap tahun rumah nenek akan menerima kunjungan sanak saudara yang ramai di raya pertama, maklumlah bilangan orang-orang tua yang tinggal boleh dibilang dengan jari. Riuh rendah kalau semuanya ada, bertambah meriah lagi suasana. Selalunya bila malam tiba, masing-masing mula berangkat pulang. Semoga tahun hadapan semuanya dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur agar dapat berkumpul lagi seperti biasa di hari mulia bulan mulia ni.
No comments:
Post a Comment